Searching...

FILIPINA TARIK DIRI SUKAN SEA BOLA : HARIMAU MUDA A ADA HARAPANKAH?

UNTUK MENDAPAT INFO TERKINI, SILA LIKE FACEBOOK


"JANGAN ambil mudah kerana apa juga kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak."

Demikian tegas pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee apabila diundi dalam Kumpulan A acara bola sepak temasya Sukan SEA 2013 yang bakal membuka tirainya di Stadium Zayyarthiri, Nay Pyi Taw, Myanmar pada awal Disember depan.

Biarpun dikhabarkan hanya bakal beraksi dalam empat perlawanan selepas Filipina menarik diri daripada temasya dwitahunan itu, Kim Swee tidak mahu anak-anak buahnya mendabik dada dengan reputasi selaku juara bertahan.

Faktor cuaca yang panas juga jelas beliau, mampu menjejaskan rentak permainan Harimau Muda A selain jadual perlawanan yang ketat.

"Saya difahamkan, kami bakal beraksi seawal pukul 3 petang (waktu Myanmar) dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan nanti.

"Jadi, mental dan fizikal pemain harus kuat terutamanya terpaksa beraksi dengan jadual perlawanan yang cukup padat dan tidak mendapat tempoh rehat yang secukupnya.

"Biarpun kekurangan aksi (seandainya Filipina menarik diri), ia bukan kelebihan buat mana-mana pasukan dalam Kumpulan A kerana kesemua pasukan dalam Kumpulan B juga beraksi empat perlawanan.

"Saya juga menasihatkan pemain supaya tidak memandang mudah cabaran mana-mana pasukan dalam kumpulan terutamanya Vietnam dan Singapura yang mampu mengecewakan kita di peringkat kumpulan," katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di Kemboja semalam.

Selain pasukan negara, Vietnam dan Singapura, turut berada dalam Kumpulan A ialah Laos dan Brunei.

Finalis 2011, Indonesia pula diundi bersama tuan rumah, Myanmar dalam Kumpulan B bersama Thailand, Timor Leste dan Kemboja.

Justeru jelas Kim Swee, beliau mahu anak-anak buahnya menjadikan faktor cuaca yang sama sepanjang beraksi dalam kejohanan jemputan Piala BIDC 2013 di Phnom Penh, Kemboja kali ini untuk menyesuaikan diri sebelum bertarung di bumi Myanmar kelak.

Sementara itu, Kim Swee juga tidak menolak kemungkinan menurunkan skuad yang berbeza ketika berdepan Myanmar dalam aksi separuh akhir Piala BIDC 2013 di Stadium Olimpik, Phnom Penh petang ini.

"Saya mahu memanfaatkan peluang menguji barisan pemain yang berbeza, namun besar kemungkinan saya mengekalkan benteng pertahanan.

"Pada masa sama, perlawanan ini juga tidak boleh dijadikan medan mengetahui kekuatan Myanmar pada temasya Sukan SEA kelak memandangkan mereka hanya tampil dengan skuad Bawah 21 Tahun," jelas beliau.

Malaysia mara ke separuh akhir Piala BIDC 2013 apabila menjuarai Kumpulan B dengan empat mata selepas seri 2-2 dengan Kemboja sebelum mengatasi Laos 3-2.

Satu lagi separuh akhir membabitkan pertemuan antara Thailand dan Kemboja petang ini sementara final bakal berlangsung di Stadium yang sama, Ahad ini.

Selepas 'berkampung' di bumi Kemboja, skuad kendalian Kim Swee juga akan menguji skuad B-23 Jordan di tempat lawan pada 12 dan 14 November depan.


SKIP
 

 

1 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

 
Back to top!