Searching...

Pemuda Parah Ditetak Rakan Kerana Minta Pulangkan Sport Rim Kereta Yang Dipinjam


Niatnya untuk mendapatkan semula empat rim sport kereta yang diberi pinjam kepada rakan sekampung kira-kira dua bulan lalu berakhir dengan pergaduhan menyebabkan mangsa cedera parah akibat ditetak.
Begitulah nasib malang menimpa seorang pemuda, Mohamad Shahrul Riduan Sudin, 25, apabila kedua-dua tangannya hampir terputus ditetak rakannya itu dalam pergaduhan di Kampung Kutan Hilir, dekat Tumpat, petang kelmarin.

Mangsa dikatakan pergi ke rumah suspek kira-kira jam 6.30 petang kerana dijanjikan akan memulangkan rim sport berkenaan, tetapi dia tiba-tiba diserang rakannya yang bersenjatakan parang.
Akibat tetakan itu, mangsa cedera parah dengan kedua-dua tangannya patah dan dihantar orang ramai ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk menjalani pembedahan.
Menurut kakak mangsa, Nor Hafizah, 33, dia melihat adiknya keluar rumah tergesa-gesa pada hari kejadian dan sempat memberitahunya hendak berjumpa dengan suspek untuk mengambil ‘barang’.
Dia yang pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa, tiba-tiba terkejut mendapat tahu Mohamad Shahrul Riduan terlibat dalam pergaduhan dan mengalami kecederaan parah.
“Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati adik dalam keadaan lemah dengan kedua-dua tangannya berlumuran darah sambil orang ramai cuba membantunya.
“Sebelum ini, Mohamad Shahrul Riduan ada beritahu saya, kawannya meminjam empat rim sport kereta dan berjanji akan memulangkan pada hari kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kutan Hilir, Tumpat hari ini
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Zaharuddin Rasip ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang dan polis menerima laporan daripada keluarga mangsa jam 9.02 malam.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kesan darah mangsa masih ada dan tiada sebarang senjata ditemui.
“Identiti suspek sudah dikenal pasti dan akan didaftarkan sebagai orang yang dikehendaki polis kerana melarikan diri selepas kejadian,” katanya.
Zaharuddin berkata, suspek mempunyai rekod penagih dadah seperti dilaporkan Bahagian Narkotik Derah Tumpat dan kes kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. -- Malaysia Gazette

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

 
Back to top!