Searching...

PIALA MALAYSIA : APA MAKNA SOKONGAN ANDAI BAWA KEROSAKKAN

UNTUK MENDAPAT INFO TERKINI, SILA LIKE FACEBOOK
Saingan Piala Malaysia sudah semakin hampir ke penghujungnya dan antara perkara paling hangat diperkatakan selain ‘prestij’ piala itu sendiri ialah jumlah kehadiran penyokong yang dilihat meningkat pada kadar yang amat membanggakan.

Selaku antara pegawai dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pertambahan mendadak penyokong itu memang sesuatu yang menggembirakan kerana ia membuktikan bola sepak di negara ini tidak pernah kehilangan peminat.

Begitupun, apa yang mahu saya perkatakan kali ini ialah mengenai sikap serta tingkah laku segelintir penyokong fanatik yang ada kalanya mencetuskan rasa kurang senang kami di peringkat kebangsaan.

Kalau mahu dibandingkan penyokong dulu dan sekarang, sudah terlalu jauh bezanya dan saya beranggapan penyokong ketika ini lebih ‘berani’ walaupun tidak ramai yang mencapai tahap terlalu agresif.


Dulu, penyokong tegar mana-mana pasukan sekadar membicarakan atau mungkin sesekali menghentam pasukan sendiri atau lawan di kedai-kedai kopi dan ketika bercakap mengenai bola sepak di ruang lingkup pejabat atau kejiranan semata-mata.


Bagaimanapun, keadaan itu sudah berubah sama sekali dalam dunia tanpa sempadan ini apabila segala macam laman web sosial digunakan sepenuhnya.

Kalau sekadar berbincang atau berdebat demi kebaikan, itu tidak mengapa tetapi apa yang berlaku sekarang, ada pihak tidak bertanggungjawab membuat provokasi melampau terhadap penyokong lawan hingga boleh mencetuskan suasana tegang.

Kami di FAM sedar, untuk membendung perkara itu memang mustahil tetapi setiap penyokong perlu mempunyai batas tertentu.

Yang datang menyaksikan perlawanan di stadium bukan sekadar orang dewasa malah ia turut menarik minat kanak-kanak dan bayangkan apa yang akan terjadi andai ‘si kecil’ itu terbabit sama dalam kancah ‘peperangan’ di stadium!

Bukan kita tidak pernah melihat ada individu tidak bertanggungjawab membaling bom asap, mercun dan sebagainya ke arah padang atau lebih teruk lagi ke arah penyokong lawan.

Semua pihak sedia maklum bahawa larangan membawa barangan berbahaya sudah ditampal di setiap stadium tetapi masih ada juga yang melanggar arahan berkenaan.

Mana mungkin pihak berkuasa dapat memeriksa setiap individu yang masuk ke stadium dan sehubungan itu kami di FAM amat mengharapkan penyokong dapat memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan demi keselesaan dan keselamatan bersama.

FAM tidak akan sesekali berkompromi dalam hal-hal begini dan tindakan sewajarnya akan diambil.

Sememangnya bola sepak perlukan peminat kerana tanpa penyokong, apalah yang boleh dibanggakan tetapi apa maknanya sokongan andai ia sekadar merosakkan.

Akhir kata, terima kasih kepada semua penyokong yang menyumbang kepada kemeriahan liga dan Piala Malaysia. Mari kita sama-sama jayakan bola sepak Malaysia - Datuk Hamidin



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

 
Back to top!