Searching...

Nelydia Mahu Bawa Keluarga Tunai Umrah Pada Tahun 2015

NELYDIA SENROSE kini memiliki perniagaan berasaskan kecantikan yang diusahakan bersama keluarganya, Secret Of Senrose.




DUA tahun menjalinkan hubungan cinta dengan pengacara kacak Qi Razali, pelakon Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen atau popularnya disapa Nelydia, 20, mengakui yang dia tidak tertekan dengan perkembangan kisah cinta mereka.
Malah, kedua-dua keluarga merestui hubungan tersebut dan tidak pernah mendesak untuk mereka berkahwin dalam tempoh terdekat.
“Kami faham bahagian masing-masing dan tidak pernah berdepan sebarang desakan daripada mana-mana pihak, sama ada dia (Qi) atau keluarga masing-masing. Saya memberikan dia masa dan antara kami tidak meletakkan sebarang jangka hayat untuk bercinta sebelum bertunang atau berkahwin kerana sepanjang tempoh dua tahun ini juga, kami melalui banyak fasa yang mematangkan satu sama lain.
“Jadi, tiada apa yang perlu dikhuatiri atau dirisaukan dan sepanjang tahun ini masih belum ada sebarang perancangan untuk ke peringkat selanjutnya dalam hubungan kami. Tidak molek rasanya jika saya sebagai pihak perempuan bercerita macam-macam mengenai hala tuju hubungan kami. Saya serahkan segala keputusan kepada pihak Qi,” ujarnya yang ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri Pergilah Air Mata di Kuang, Selangor baru-baru ini.
Tambah Nelydia, hubungan cintanya dengan Qi masih berjalan atas landasan yang tepat. Seiring kematangan perhubungan itu, dia kini lebih memahami kehendak dan keperluan sebenar dalam melayari alam percintaan.
Faktor perbezaan jarak usia 17 tahun antara mereka juga tegas Nelydia, bukan menjadi faktor penghalang untuk meneruskan hubungan mahupun tekanan untuk melangkah ke fasa baharu.
Tidak pernah bersara
Menjurus ke arah matlamat kehidupan sempena kedatangan tahun baharu 2015, kata pelakon kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu, pelbagai perkara menarik berlaku sepanjang tahun 2014 termasuk kejayaan melebarkan sayap baharu dalam bidang perniagaan kecantikan dan kesihatan, Secret Of Senrose yang sudah memasuki usia lima bulan beroperasi.
“Alhamdulillah, sepanjang tahun 2014 fokus saya sebenarnya lebih tertumpu kepada bidang perniagaan produk kecantikan dan kesihatan, premium minuman kolagen menerusi jenama Secret Of Senrose yang diusahakan oleh kami adik-beradik termasuk Uqasha. Selain itu, banyak perubahan yang sebenarnya lebih mematangkan saya termasuklah cara pemikiran.
“Walaupun ada antara azam tahun lalu yang masih belum tercapai, saya sematkan semula sebagai motivasi untuk saya bekerja tahun ini. Antaranya, niat saya untuk membawa keluarga saya menunaikan umrah.
“Mungkin peluang tahun 2015 juga memberikan saya kesempatan untuk mengembara ke beberapa buah tempat menarik yang selama ini saya idamkan,” katanya yang melihat banyak pencapaian positif diraih saban hari dalam hidupnya.
Kesibukan menguruskan perniagaan keluarga juga sekali gus menjawab ‘kehilangan’ Nelydia daripada kaca televisyen.
Jelasnya, tahun lalu bukan tahun rancak dalam karier lakonannya memandangkan ada antara tawaran berlakon terpaksa ditolaknya demi mengusahakan perniagaan Secret Of Senrose.
“Sekarang baru saya boleh kembali fokus kepada dunia lakonan setelah hampir setahun sibuk dengan pelbagai urusan berkaitan perniagaan. Memang impian saya sejak dahulu lagi untuk mengusahakan perniagaan sendiri yang akhirnya tercapai juga. Bagaimanapun, saya masih sayangkan kerjaya lakonan dan tidak mungkin saya akan meninggalkannya begitu sahaja.
“Tidak pernah saya ketepikan bidang lakonan kerana ini ‘periuk nasi’ saya. Selagi termampu saya akan teruskan berlakon, malah tidak pernah pula saya memberitahu bahawa saya akan berhenti berlakon.
“Cuma ada ketikanya saya perlu memperlahankan seketika bidang tersebut untuk fokus kepada perkara lain juga.
“Saya juga bukan jenis yang akan menerima tawaran tidak putus-putus, sebaliknya saya perlu memberikan ruang untuk menyegarkan semula minda dan fizikal sebelum kembali ke set penggambaran yang baharu,” kata pelakon yang cukup popular dengan drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta itu.
Wanita teraniaya
Ditemui di set penggambaran drama bersiri 26 episod, Pergilah Air Mata arahan Jo Yusof baru-baru ini, Nelydia mengakui, peranan yang ditawarkan kepadanya kali ini hampir sama seperti watak-watak yang pernah didukungnya dalam beberapa naskhah terdahulu. Cuma yang menariknya, dia perlu meladeni kehidupan sebagai seorang wanita bermadu.
“Saya mendukung watak Sabrina dalam drama Pergilah Air Mata. Dia seorang gadis naif dari kampung yang kehidupannya tidak terdedah kepada anasir negatif.
“Malang menimpa Sabrina apabila dia diperangkap oleh rakan baiknya sendiri, Maria (lakonan Reen Rahim) sehingga terpaksa berkahwin paksa dengan seorang jejaka kaya bernama Badrul (Kamal Adli).
“Walaupun berkahwin, hidupnya lebih sukar apabila perlu menjalani kehidupan bermadu dengan isteri pertama Badrul, Dayana (Izreen Azminda) dan sering disalah anggap mahu mengaut harta suaminya,” cerita Nelydia.

- kosmo

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

 
Back to top!