SEKILAS PANDANG: Mutakhir ini, kes buli jalan raya seperti semakin kerap berlaku, termasuk yang melibatkan perempuan.
Kita pastinya masih ingat Kiki Kamaruddin, si pembuli bersama pengunci steering, yang tiba-tiba menjadi terkenal (secara buruk, atau baik – jika anda bertanya kepada stesen radio tempatan yang menemuramahnya) selepas menjerit dan mengancam untuk menyerang seorang warga emas berketurunan Cina selepas kereta mereka bergeser sedikit, di Kuantan tahun lalu.
Episod serupa nampaknya telah terjadi di ruang letak kereta pusat membeli-belah terkenal di Kuala Lumpur, menurut sebuah posting yang kini mula tersebar di Facebook.
Posting itu dimuatnaik pengguna bernama Syaida Azrudin 17 Februari lalu, yang menceritakan bagaimana beliau diseorang seorang pemandu perempuan pada malam 13 Februari lalu.
“Kakak saya (pemandu) dan saya (penumpang) ingin meletakkan kereta secara mengundur di sebelah kereta penyerang (perempuan dan dipercayai warga asing berusia antara 30 hingga 35 tahun), yang diparkir secara teruk. Tayarnya berada di luar garisan kuning.
“Ia menyebabkan ruang kami menjadi amat kecil. Saya perlu buka pintu hingga menyentuh sedikit keretanya, agar cukup ruang untuk saya keluar,” katanya.
Ini menyebabkan perempuan itu, yang memandu Kia Sportage, naik marah.
Perang mulut berlaku dan perempuan itu mula menghamburkan maki-hamun kepada mangsa. Perempuan itu yang berada dalam kereta malah menarik tali tas tangan mangsa. Ini menyebabkan separuh badan mangsa ditarik ke dalam kereta Kia Sportage tersebut.
Perempuan itu kemudian memukul kepala mangsa berkali-kali, sebelum menolaknya keluar dan menyebabkannya terjatuh ke lantai.
Amaran kakak mangsa untuk menghubungi polis tidak memberi kesan kepada perempuan itu, yang kemudian mengugut untuk melanggar kereta mereka dari belakang.
Menurut posting itu, penyerang kemudian meninggalkan tempat itu apabila pegawai keselamatan tiba. Pemeriksaan CCTV tidak merakam insiden tersebut memandangkan kamera yang paling dekat dengan tempat kejadian dihalakan ke arah jalan, dan bukan ruang parkir. Mereka hanya sempat merakam video kereta itu meninggalkan tempat letak kereta.
Laporan polis yang dibuat juga tidak memberikan banyak harapan, apabila polis memberitahu mangsa bahawa usaha mengesan kereta itu akan mengambil masa sebulan.
Akibat serangan itu, Syaida mengalami luka calar di dahi dan dan lebam di paha. Beliau meminta orang ramai memberikan maklumat berhubung penyerang itu berdasarkan maklumat kenderaannya.
Posting itu kini sudah dikongsi lebih 150 kali, dengan majoriti mempersoalkan mengapa polis memerlukan sebulan untuk mengesan kereta itu. Bukankah mangsa telah mengambil gambar kereta, lengkap bersama nombor pendaftarannya.
Adakah itu merupakan cara polis melepaskan tangan terhadap apa yang dianggap sebagai masalah “kecil”? Adakah penyerang perlu menyebabkan kecederaan fizikal yang serius kepada mangsa, barulah tindakan akan diambil?
Mungkin polis boleh memberikan penjelasan.
0 comments:
Post a Comment