Johor Bahru: Seorang pemandu teksi ditahan selepas menyerang dua anggota polis bantuan dipercayai akibat tidak dapat menerima teguran pihak berkuasa itu yang memintanya mengalihkan teksinya, dalam satu kejadian di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, pemandu teksi berusia 38 tahun yang dipercayai memandu secara merbahaya sebelum itu meletakkan teksinya bukan di tempat parkir atau kawasan menurunkan penumpang sebelum didatangi dua anggota polis bantuan BSI yang memintanya beredar dengan cara baik.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, berkemungkinan tidak dapat menerima teguran itu, suspek berkenaan bertindak menyerang dengan menarik kolar pakaian seragam polis bantuan berkenaan sebelum berlaku insiden pergaduhan itu.
"Suspek turut dilaporkan menendang polis bantuan terbabit sebelum seorang anggota polis trafik datang membantu meleraikan pergaduhan," katanya. Beliau berkata, anggota trafik itu kemudian menahan suspek dan membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS untuk siasatan lanjut sebelum dilepaskan dengan jaminan polis hari ini.
Klip video kejadian berkenaan yang dirakam orang ramai mendapat perhatian dan menjadi viral di laman sosial.
0 comments:
Post a Comment