Searching...

Kedah Denda Lelaki Islam Yang Tidak Solat Jumaat Bermula 1 Jun??!!!





ALOR SETAR: Saman tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya bakal dikenakan kepada lelaki Islam di Kedah sekiranya meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) Syeikh Ahmad Fisol Omar berkata Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 akan mula berkuatkuasa pada 1 Jun depan.

"Kita tidak mengeluarkan saman secara membuta. Kita akan bertindak mengikut aduan yang dilaporkan orang awam terutama sekali yang tinggal dalam kariah sendiri. 

"Sekiranya pesalah gagal memberi kerjasama, kita juga akan memohon waran tangkap dari Hakim Mahkamah Syariah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini. 

JAIK sebelum ini menerima banyak aduan dari orang ramai berhubung kehadiran lelaki Islam di tempat-tempat terbuka ketika waktu Solat Jumaat.

Sehubungan itu pelaksanaan undang-undang berkenaan dapat menggalakkan lelaki Islam untuk tidak lagi meninggalkan kewajipan mereka.

Hukuman kepada pesalah itu diluluskan di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah tahun lepas yang terkandung di dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014.

Dalam usaha menguatkuasakan undang-undang tersebut, JAIK mengadakan jelajah di 12 daerah di negeri ini untuk memberi pemahaman kepada semua pihak.

"Poster dan pekeliling tentang undang-undang itu turut diedarkan kepada 568 masjid di seluruh Kedah," katanya. 

Syeikh Ahmad turut memaklumkan orang awam boleh mendapatkan borang aduan di pejabat-pejabat agama daerah untuk memaklumkan perbuatan meninggalkan solat Jumaat itu dengan identiti pelapor akan dirahsiakan.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

 
Back to top!