Lara ingat mesti Emma berasa rimas apabila dirinya masih dikaitkan lagi dengan bekas kekasihnya Zizan Razak walaupun telah mendedahkan yang hubungan cintanya bersama pelakon dan pelawak tersebut putus di tengah jalan.
Rupanya tidak, Emma mengatakan yang dia tidak rasa rimas langsung. Katanya Itu sudah jadi lumrah hidup sebagai seorang artis. Katanya lagi kalau dia bukan artis pun, orang masih akan cakap pasal dirinya.
"Saya tak boleh tutup mulut orang,” ujar Emma.
Menganggap dirinya berada di tengah-tengah, Emma hanya menjalani kehidupannya seperti biasa dan menganggap semuanya adalah asam garam menjadi seorang selebriti.
“Kalau saya bagi kenyataan pun, orang akan cakap yang saya tidak matang. Bila saya tak beri kenyataan pula, orang akan cakap saya cuba larilah, kekwatlah, tak mahu bagi kerjasamalah. Saya berada di tengah-tengah. Senang cerita, saya hanya menganggap perkara itu sebagai lumrah hidup dalam dunia selebriti,” ujarnya lagi.
Jika dilihat sebelum ini, hanya pihak Emma yang tampil dan menjelaskan yang mereka telah berpisah. Ketika ditanya mengenai tindakan Zizan yang tidak pernah membuka mulut dan bercerita mengenai perpisahan mereka, Emma enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
“Saya tak mahu ulas apa-apa kerana itu hak individu. Bila pihak sana tak mahu berikan kenyataan dan berdiam, tidak mengapa, itu hak dia. Bila orang dakwa saya buka aib dia, itu tidak benar kerana saya sendiri tidak pernah membuka cerita dan memberitahu punca mengapa hubungan saya putus. Saya cuma berikan kenyataan yang saya dan dia sudah tiada jodoh sahaja,” kata Emma.
Dikaitkan pula dengan Kamal Adli, Emma menganggap usikan itu sebagai perkara biasa kerana dengan siapa pun dia dilihat, pastinya orang akan menimbulkan spekulasi.
“Bukan dengan Kamal sahaja, malah dengan sesiapa pun. Saya beri contoh, jika saya melalui acara karpet merah ini dengan seorang artis lelaki lain, pastinya orang akan terus mengaitkan saya dengan lelaki itu. Dengan siapa-siapa saya rapat pun, orang akan mengatakan yang saya bercinta. Jadi bagi saya, tidak mengapalah. Saya mahu biarkan sahaja,” ujar Emma.
0 comments:
Post a Comment