KUALA LUMPUR: Suami tersayang Rozita Che Wan, Zain Saidin memberitahu isteri beliau itu pernah mengalami pendarahan sekitar awal Ramadan lalu kerana melakukan kerja berat di rumah. Zain berkata demikian ketika ditemuinya di majlis rumah terbuka anjuran syarikat Laugh Out Loud milik Dafi dan Afeeq. Pelakon drama Oh My English! siaran Astro itu turut mengakui Rozita gemar membebel ketika ini. "Kejadian ini tak silap saya berlaku hari puasa pertama. Dia ada buat kerja siram pokok pada hari berkenaan. "Selepas itu pada sebelah petang dia nak bersiap untuk ke majlis berbuka puasa ada sesuatu yang terjadi.
"Berlaku pendarahan kecil dan kami segera ke pusat perubatan Prince Court untuk mendapatkan pemeriksaan. Kami mendapatkan rawatan susulan keesokan hari kerana doktor yang perlu dirujuk tiada pada hari pertama. "Alhamdulillah pada hari ketiga pendarahan sudah tak ada. Mulai dari itu, saya tak izinkan lagi dia buat kerja berat. Berjalan atau berdiri lama pun saya tak izinkan kerana bimbang kaki bengkak," katanya. Bercerita lanjut mengenai isterinya yang gemar membebel, Zain sedar perkara itu menjadi kebiasaan buat wanita mengandung. "Saya pula jenis tak suka dia bising. Saya cuba menurut apa saja kehendaknya. Macam dia pernah mengadu sakit belakang sebab membawa perut, lalu saya dapatkan dia bantal khas yang dibeli secara dalam talian. "Membebelnya menjadi jadi sebab saya pula jenis yang suka melengahkan kerja. Buat kerja bila disuruh saja dan dia saja kena ingatkan saya untuk buat itu ini. Pemandu dia lambat jemput pun mulalah membebel. Kesannya orang berdekatannya pun dibebelkannya. "Emosinya sejak tujuh bulan mengandung ini terus terkawal. Tapi saya cuba untuk melayan saja emosinya," kata Zain. Dalam sisi lain, pelakon berdarah campuran ini juga mengakui cukup teruja menyambut kelahiran bayi perempuan dalam tempoh dua bulan lagi. "Cuma selepas bergelar bapa segera kepada dua anaknya menerusi perkahwinan terdahulu, saya mahu buktikan sekalipun akan menyambut anak sendiri tak lama lagi tidak akan wujud perbezaan kasih sayang dengan mereka. "Saya mahu adil dengan anak tiri dan sendiri. Cuma dalam menyambut kelahiran anak sulung ini saya mahupun isteri mahukan yang terbaik untuknya termasuklah memilih pusat perubatan yang selesa dan privasi untuk melahirkannya nanti. "Bakal anak kami pun akan ada hak siaran eksklusif Astro. Itu rezeki anak namanya. Kami tumpang gembira," katanya. Mengenai kerjaya Zain ketika ini sedang berehat selepas selesai menjalani penggambaran Oh My English musim ketiga. "Jadi waktu senggang ini dapat saya temankan isteri yang sedang menghitung hari untuk melahirkan anak. Malah dapat juga saya ke gim untuk terus menjadi tegap dan sasa. Sasaran saya ialah menjadi daddy fit sebelum anak dilahirkan," katanya.
0 comments:
Post a Comment