Sejak akhir-akhir ini, pelakon Izreen Azminda sering berkongsi fotonya di akaun Instagramnya dengan tampil mengenakan tudung.
Penampilan ini mendapat maklum balas positif daripada peminat yang memuji penghijrahan pelakon ini. Menurut Izreen, dia kini dalam proses untuk membiasakan diri dengan imej bertudung.
“Alhamdulillah, sebenarnya niat untuk bertudung itu sudah lama saya fikirkan. Kebetulan pula, kini saya sedang menggalas watak, Damia Farisha menerusi drama bersiri terbitan Zeel Production, Eksperimen Cinta, yang memerlukan saya bertudung.
“Buat masa ini, saya selesa penampilan ini, malah bukan di set saja, keluar rumah pun saya cuba biasakan diri pakai pakaian menutup aurat.
“Namun, masih ada babak lakonan yang memerlukan saya membuka tudung lagi dan Insya-ALLAH, penghujung bulan ini, saya akan bertudung sepenuhnya. Doakan saya,” kata Izreen yang dipetik menerusi Sinar Harian.
Ditanya adakah dia bersedia berdepan kekurangan tawaran lakonan selepas ini, Izreen menganggap ianya bergantung kepada rezeki.
“Kalau saya tetap memikirkan mengenai tawaran lakonan, sampai bila-bila saya tidak dapat ubah penampilan ke arah lebih baik.
“Namun, saya nekad dan percaya, semuanya bergantung pada rezeki ALLAH SWT. Kalau ada rezeki saya, adalah. Kalau tak ada, saya reda.
“Selepas ini, saya juga tidak akan bergantung pada lakonan semata-mata. Mungkin saya akan usahakan cara lain untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya lagi.
0 comments:
Post a Comment