PENYANYI dan penulis lagu, Yunaliz Zarai mengorak setapak lagi langkah dalam kerjaya seninya apabila diberi peluang merakamkan lagu duet bersama bintang R&B terkenal Amerika Syarikat, Usher.
Perkara itu disahkan komposer terkemuka antarabangsa dan presiden Verve Music Group, David Foster yang menaungi Yuna.
Menurut David Foster, dia sememangnya yakin akan bakat Yuna dan berharap kerjasama ini bakal menaikkan lagi nama Yuna di peringkat lebih tinggi.
“Yuna sudah merakamkan lagu duet itu baru-baru ini. Saya berasa projek ini akan melonjakkan namanya ke kemuncak. Saya 100 peratus yakin dengan Yuna.
“Dia rakyat Malaysia dan mempunyai personaliti yang menarik. Sudah menjadi matlamat kami untuk melonjakkan namanya menjadi bintang ternama,” katanya.
Terdahulu David Foster menghadiri sidang media sempena pelantikannya selaku duta jenama global syarikat penerbangan AirAsia di Kuala Lumpur, semalam.
David Foster
Yuna menyertai syarikat pengurusan Verve Music Group pada 2013 pernah merakamkan album antarabangsanya berjudul Nocturnal pada tahun sama.
Sementara itu, Yuna menerusi Instagramnya turut memuat naik gambarnya bersama Usher dengan kapsyen ‘soon‘ (akan datang).
Gambar tersebut turut menarik perhatian peminatnya yang meluahkan rasa tidak sabar menantikan kemunculan lagu duet dua bintang ini. – SUMBER
0 comments:
Post a Comment