Searching...

Hati-hati dengan isteri yang tertekan

HIDUP sebagai suami pada zaman sekarang mungkin sudah tidak lagi selamat. Isteri-isteri pada zaman ini sudah pandai buli suami. Kelmarin, daripada maklumat radio, saya dengar ada kes yang berlaku di negara kita, suami isteri bercerai hanya kerana suami tidak pandai picit.

Kalaulah kerana tidak pandai picit dia (isteri) walaupun boleh jadi bahan ketawa, masih boleh diterima. Yang payah hendak diterima ialah alasan tuntutan cerai yang dibuat oleh isteri, suami tidak pandai picit tiub ubat gigi. Si isteri hilang sabar apabila suami picit ubat gigi bukan di bahagian bawah tiub tetapi di tengah-tengah. Tidak tahulah apa yang jadi masalah besar bagi si isteri apabila suaminya lebih suka picit di bahagian tengah, bukan bahagian bawah tiub ubat gigi sebagaimana dimahukannya.

Ini cerita pasal tiub ubat gigi, kalau tentang dia sendiri, bolehlah kita cuba-cuba memahamkan diri sendiri. Takkan ada suami yang hanya pandai picit kaki isteri dan tidak pandai hendak memicit di bahagian tengah. Kena masuk kursus semulalah nampaknya suami yang seperti itu!



Rupa-rupanya bersebab dengan ubat gigi sahaja, bukan sedikit suami isteri berbalah malah hingga bercerai-berai. Ada kawan berkongsi cerita betapa isteri mereka sering berleter berjela-jela jika mereka atau anak-anak tertinggal kesan buih di singki selepas memberus gigi. Isteri saya sendiri pun kadang-kadang bising juga. Mungkin tabii lelaki agaknya berus gigi buih bersepah dan selalu pula terlupa untuk membersihkannya semula.

Itu belum lagi masuk bab isteri mengamuk keturun semangat Tun Fatimah apabila suami atau anak-anak tidak pasang semula penutup tiub ubat gigi selepas memberus. Kalau penutup itu hilang, lagilah sakan amuknya!

Ya, ini kisah yang biasa berlaku di sekeliling kita tetapi yang jadi luar biasa apabila hal seperti ini membawa kepada kes cerai-berai. Dan ia sudah tentu amat menyedihkan!

Hal yang seumpama ini boleh terjadi - walaupun sukar untuk diterima akal yang rasional - apabila sesuatu perkara yang tidak disukai berlaku berulang kali. Misalnya dalam kes suami picit tiub ubat gigi di bahagian tengah, bukan di bahagian bawah sebagaimana yang dimahukan oleh isteri: Logiknya, si isteri tidak dapat terima cara suaminya kerana kesan picitan di bahagian tengah tiub akan menyebabkan ada ubat gigit terperangkap pada lekukan yang boleh membawa kepada pembaziran ataupun kesukaran ketika hendak memicitnya keluar.

Apabila teguran demi teguran tidak diendahkan, si isteri pasti berasa sakit hati sekali gus menyebabkan masalah yang remeh-temeh seperti itu melarat menjadi isu besar. Apa lagi jika ia dikaitkan dengan hal-hal yang lain terutama apabila si suami dengan egonya tidak mahu mengalah, malah bawa pula perbalahan yang sekadar berpunca daripada hal picit memicit tiub ubat gigi kepada perkara yang lebih serius.

Satu lagi perkara yang kita perlu fahami ialah sesuatu perkara yang tidak disukai tetapi terpaksa dihadapi setiap hari akan membawa tekanan psikologi yang berat lagi serius, malah mungkin sampai ke tahap depresi. Seseorang yang berada dalam keadaan seperti itu boleh berasa terhina, tercabar dan sebagainya jika sesuatu pernyataan atau luahan yang disuarakannya tidak diendahkan. Jika ini melibatkan suami, ada isteri yang tidak tahan menghadapi situasi seperti ini sampai minta cerai kerana berasa terhina dan tidak diendahkan.

Sebelum sampai ke tahap itu, mereka akan bersuara, berleter atau membebel. Itulah senjata mereka untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. Dan memang lumrah wanita, mereka selalu mahu melihat sesuatu di hadapan mereka sentiasa dalam keadaan sempurna. Jika sempurna di mata, selalunya sempurnalah di hati. Jika tidak sempurna di mata, ia akan membawa ke hati dan apabila tidak sempurna di hati, mulut pasti akan berbunyi.

Apabila peringatan atau teguran tidak diendahkan, mereka akan melakukannya sendiri dan melakukan sendiri apa yang tidak disukai sudah pasti akan menambah lagi tekanan. Inilah agaknya yang berlaku di Jepun baru-baru ini apabila seorang isteri yang berang lantaran tandas yang baru digunakan oleh suaminya berbau terlalu busuk, telah bertindak kejam mengelar muka suaminya.

Saya tidak bermaksud supaya suami-suami berwaspada, mencurigai atau jangan percayakan isteri anda. Sebagaimana yang telah saya peringatkan, jangan biarkan isteri menegur sesuatu perkara berulang kali. Jika tidak, tindakan mereka mungkin sesuatu yang tidak pernah kita jangkakan! -Sumber

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

 
Back to top!